Wednesday 7 January 2015

TOKOH MAT SALLEH DAN ANTANOM-PAHLAWAN MURUT

 Datu Mohammad Salleh

Datu Mohammad Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjaan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894.
Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kampung Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896.
Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Syarikat Berpiagam Borneo Utara bermula pada bulan Julai 1897. Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama juga Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni di Ambong.
Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh. Seterusnya pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatan tentera yang lebih besar.
Mat Salleh terpaksa mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.
Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh tidak dapat ditembusi peluru. Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau jalan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.
Tidak lama kemudian, pihak Kompeni menawarkan perdamaian dan Mat Salleh bersetuju, walaupun ditentang orang-orangnya. Tetapi pada 1899, Kompeni cuba mengambil alih Tambunan daripada Mat Salleh dan menyebabkan peperangan tercetus kembali.
Dan akhirnya pada 31 Januari 1900, kota Mat Salleh tumbang akibat serangan hebat Kompeni yang berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Dan peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.
Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperingati kota Mat Salleh itu. Di tugu peringatan itu, tertulis perkataan dalam bahasa Inggeris yang bererti, 'Tugu ini menandakan tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasukan Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbiran Chartered Company menemui ajalnya'.
Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi pada kaca mata rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan. Bagaimanapun, terdapat sebilangan rakyat tempatan terutama di kalangan keturunan penduduk yang mempunyai sejarah pernah bertempur atau berperang dengan pihak Mat Salleh, yang tidak mengiktiraf Mat Salleh sebagai pahlawan apatah lagi pejuang kemerdekaan kerana Mat Salleh dikatakan berjuang untuk kepentingan diri dan kumpulannya sahaja dan bukan secara menyeluruh
                                                                 Datu Mohammad Salleh

 Antanom-Pahlawan Murut

Sebagaimana yang tercatat dalam sejarah mengenai perjuangan Antanom menggerakkan pemberontakan Rundum menentang penjajah pada tahun 1915 yang ditulis oleh sejarawan Barat; ada fakta yang perlu dibetulkan dari segi nama sebenarnya yang memimpin pemberontakan itu. 
Menurut tradisi orang-orang Inggeris, mereka lazimnya menyebut nama keluarga daripada nama peribadi. Orang yang memimpin pemberontakan Rundum itu ialah anaknya bernama Ontoros dan bukan Antanom bapanya. Disinilah berlakunya kekeliruan fakta. Bagaimanapun, oleh kerana nama Antanom sudah terkenal dan tercatat dalam sejarah tanahair, buku yang akan terbit mengenai pemberontakan itu mengekalkan nama Antanom itu sebagai Ontoros. 
Antanom atau Ontoros dilahirkan di kawasan " Masinpunon " sungai Salarom pada tahun 1885 dan berumur dalam lingkungan 30 tahun ketika pemberontakan itu dilancarkan. 
Antanom adalah anak keturunan Suku Murut Tagol dari golongan bermartabat mengikut adat istiadat kaum murut. Dia dibesarkan dalam zaman daerah kampungnya dilanda oleh persengketaan kaum dan oleh ancaman pemburu kepala kaum Dayak dari kawasan perbatasan atau dikenali dengan istilah " Pengayau ". 
Didikan yang diterimanya ialah mengenal kehidupan rimbanya dan bermain senjata. Jiwanya dibentuk agar menjadi seorang kalawon atau pahlawan dan semangat sedia berkorban telah disemai dalam hidupnya supaya bertanggungjawab melindungi keluarga dan kaumnya. 
Orang pengecut tidak ada tempat dalam dunia rimba. Didalam keadaan persekitarannya bergolak oleh permusuhan kaum yang berpunca dari hutang darah, Antanom/Ontoros tidak ada pilihan, selain daripada berwatak keras dan berani. Jika pun dia menjadi jahat dari kacamata Inggeris, kerana tidak tunduk kepada kuasa mereka, bukanlah kerana Tuhan membentuknya menjadi orang ganas, tetapi suasana persekityarannya yang memaksa Antanom/Ontoros bertindak demikian. 
Perwatakan Antanom/Ontoros yang berbadan tegap berambut panjang itu, bila lengkap berpakaian tradisi, bercawat dengan tombak ditangan dan Pailang tersisip dipinggang, dia kelihatan gagah dan mengerunkan. Sikapnya tegas dan tenang dalam menghadapi bahaya. Bila dia telah memutuskan sesuatu, dia akan kotakan kata-katanya dan bertindak dengan penuh keazaman. 
Antanom dikagumi bukan saja kerana kehebatannya menggerakkan pemberontakan menentang Kompeni Inggeris itu, tetapi lebih kepada kewibawaannya menyatupadukan kaumnya yang ketika itu sedang dilanda sengketa dan perpecahan. Inggeris sendiri mengakui keistimewaan Antanom mendamai dan menyatupadukan suku-suku Murut yang bermusuhan itu. 
Faktor yang menyebabkan tercetusnya penentangan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris didorong oleh beberapa sebab yang telah terkumpul dan menjadi bara. Sejak tahun 1909 gerakan menentang Inggeris sudah dimulakan oleh kaum Murut, tetapi setelah dua orang pemimpinnya terbunuh, Linggam dan Melayak, gerakan penentangan itu terhenti buat sementera waktu. Api yang tidak menjilat batang, daun dan ranting; tidak bererti api tidak bersembunyi dibawah tanah memakan akar. 
Kemarahan dan kegelisahan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris berpunca dari empat perkara utama. Hak mereka dicerobohi, bila ramai daripada pedagang hasil hutan dibenarkan mengutip hasil hutan di pedalaman. Mereka dijadikan buruh paksa membina jalan denai ( Jalan Kuda ) dan merentang kawat telegraph antara Tenom ke Rundum tanpa upah. Upah yang diberikan kepada mereka sekadar rokok tembakau sahaja. Mengenakan cukai kepala, padi dan tapai juga menyumbang kepada kemarahan mereka. Semuanya ini pada pandangan mereka adalah tidak wajar. Kehidupan mereka yang merdeka dan bebas di kawasan belantara luas itu telah terganggu. 

Keadaan bertambah buruk lagi pada tahun 1910 apabila Kompeni Inggeris menghantar buat pertama kalinya seorang Pegawai Daerah Mazwell Hall, membuka setesen di Rundum, sebagai langkah menyekat kegiatan memburu kepala. 
Seramai tidak kurang 900 orang kaum Murut dari beberapa kawasan, termasuk Tenom, Keningau, Pensiangan dan perbatasan daerah Borneo Belanda, telah menyertai gerakan pemberontakan itu. Beberapa buah kubu pertahanan telah dibina di Selangit sebagai kubu induk atau digelar Silar Pinikit, diikuti oleh beberapa buah kubu lagi di Menining ulu sungai Telokoson, Kubu Liohon, Kubu Impal dan Kubu Salang. Kubu-kubu ini dibina sekitar tahun 1913 sehingga 1915 dengan paduan tenaga seluruh kaum Murut di kawasan Pedalaman. Serangan ke atas setesen Rundum merupakan serangan pramasa. Antanom/Ontoros sebenarnya tidak mahu melancarkan serangan terburu-buru, kerana banyak lagi kubu mereka belum siap dibina. 
Dalam pertempuran di kubu induk mereka, Antanom/Ontoros diperdaya dengan gencatan senjata dan niat untuk berdamai, tetapi sebaliknya mata-mata upahan Inggeris telah memenggal kepalanya. Bagaimanapun, banyak fakta yang sebenar berlaku, telah dipesongkan oleh sejarawan Barat. Kalaupun bukan dengan sengaja, niat melindungi maruah Empayar British itu tetap ada, sehingga segala fakta menjadi kabur.

No comments:

Post a Comment